KUALA LUMPUR, 20 Mac: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi fokus untuk melaksanakan penyelenggaraan Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri di KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, selain itu kerja penyelenggaraan juga membabitkan Jalan Perhubungan Desa (JPD), jalan ladang, jambatan luar bandar dan pemasangan lampu jalan kampung.
“Fokus ini turut melibatkan penyelenggaraan di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (Perikatan Nasional – Jerlun) yang ingin tahu baki projek menaki taraf jalan di enam negeri serta sama ada terdapat peruntukan khas jika berlaku kerosakan jalan.
Sementara itu Rubiah memaklumkan, kerosakan dan penyelenggaraan JPD dan JALB bukan di bawah KKDW kerana ia dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi pelaksananya bagi disenaraikan di dalam sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya di Malaysia (MARRIS).
“Jika ada sebarang kerosakan laporan perlu diberi kepada agensi-agensi pelaksana yang berkenaan.
“Berkenaan projek baik pulih jalan yang telah siap dilaksanakan pula, ia akan diserahkan kepada JKR,” katanya. -TVS