SIBU, 20 Mac: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan empat lori yang disyaki membawa kayu balak melebihi had muatan yang dibenarkan dalam satu operasi kenderaan barangan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini lewat malam tadi.
Ketua JPJ Cawangan Sibu, Mohamad Faizal David Jemat berkata, keempat-empat pemandu lori itu disaman selepas pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan yang melebihi kapasiti dibenarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata, saman dikeluarkan bagi kesalahan gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan dalam Lesen Pembawa di bawah Seksyen 19(1)(b)(vi) Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) 1987.
Beliau seterusnya menggesa pengusaha-pengusaha lori lebih bertanggungjawab dengan tidak membawa muatan berlebihan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan jalan raya, di samping menjaga keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain. – TVS