KUCHING, 19 Mac: Polis merampas dadah syabu seberat 21,700 gram bernilai RM716,100 dalam serbuan dilakukan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Dato Khaw Kok Chin berkata, harga dadah terbabit yang dijual dengan harga tiga kali ganda harga sebenar mendorong pengedar dadah di negeri ini nekad mencari jalan mengubahsuai tong gas untuk membawa dadah terlarang itu.
“Kita parçaya barang terlarang ini dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia yang diminta oleh suspek B1 untuk rekrut orang untuk hantar barang dengan bayaran RM20,000 sebelum rekrut B3 bagi urusan penghantaran dadah ke Sri Aman.
“Permintaan bagi barangan terlarang ini di negara jiran adalah tinggi, kalau di Sarawak nilai sekilogram dadah adalah RM33,000 tapi di negara jiran harganya agak tinggi mengikut permintaan,” katanya ketika mengadakan sidang media di IPK Sarawak di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, dalam serbuan di kawasan Miri itu pihak polis berjaya menahan enam suspek warga tempatan berusia 28 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti  itu.
“JSJN berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 21,700 gram yang brnilai RM716,100 serta rampasan wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas bernilai RM54,941 dan empat buah kenderaan dianggarkan bernilai RM194,000.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 18 Mac hingga 21 Mac 2024 bagi membantu siasatan,” katanya.  -TVS