KUCHING, 19 Mac: Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ke-8 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, adalah relevan dan bertepatan dengan pembangunan arus masa kini dalam usaha pihak universiti memperkasa serta mematangkan lagi mahasiswa di negara ini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, seiring dengan itu, pihak universiti telah menyediakan pelbagai perancangan pembangunan mahasiswa Madani dan platform yang holistik melalui Pelan Tindakan Hal Ehwal Pelajar dan Alumi (HEPA) 2024-2025.
“Harapan kami di UNIMAS agar pindaan ini akan terus menyemarakkan proses demokrasi dan autonomi dengan memastikan mahasiswa mempunyai jati diri yang tinggi, berkeyakinan serta berkebolehan dan holistik dalam pembentukan graduan tersedia masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pindaan AUKU 1971 ke-8 yang diluluskan di Dewan Rakyat dan mendapat sokongan penuh serta dipersetujui oleh Ahli Parlimen yang mana ia dilihat mampu meningkatkan mutu mahasiswa.
Pindaan itu membabitkan Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.
Terdahulu, RUU itu dibentang bagi bacaan kali kedua dan digulung oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.
Pindaan tersebut merupakan pindaan terbaharu ke atas akta itu selepas kali terakhir ia dipinda pada 10 Disember 2018.
Pada masa sama, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNIMAS turut menyambut baik pindaan AUKU 1971 kerana ia menunjukkan bahawa mahasiswa pada masa kini mampu membuktikan kebolehan MPP untuk bersama-sama memperkasakan mahasiswa bermula daripada peringkat akar umbi.
Selain itu, menurut perwakilan mahasiswa kampus UNIMAS, pindaan itu dapat memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk menimba pengalaman, bertanggungjawab serta meningkatkan kesediaan dalam mengurus dan melaksana program atau aktiviti dengan cekap dan berintegriti. – TVS