SARIKEI, 19 Mac: Semua pihak digesa mengambil pendekatan proaktif dalam membantu kerajaan meningkatkan jumlah pendaftaran penduduk melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, setakat ini kira-kira 37, 500 individu telah berjaya mendaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU) di Bahagian Sarikei.
Jumlah itu katanya, tidak termasuk penduduk di Bahagian Mukah khususnya penduduk di kawasan DUN Kuala Rajang.
“Saya menyeru semua pihak mengambil pendekatan tindakan proaktif bantu kerajaan memudahkan setiap individu mendaftar diri mereka melalui PADU ini.
“Sehubungan itu, saya juga meminta kerjasama semua pihak, sama ada agensi kerajaan mahupun, ketua masyarakat, ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) turun padang untuk membantu,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Pada masa yang sama ujar beliau, pemuda atau wanita parti juga boleh membantu memudahkan urusan pendaftaran khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Len Talif menggesa mereka yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian kerana usaha tersebut dilihat mampu memberikan perubahan besar terhadap perkhidmatan kerajaan ke arah yang lebih baik dan cekap.
Katanya, pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Januari hingga 31 Mac ini dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi masing-masing melalui pautan yang disediakan untuk tujuan tersebut.
PADU menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak. – TVS