KUALA LUMPUR, 19 Mac:Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS) yang sedang digubal masih memerlukan beberapa penelitian khusus termasuk melibatkan ketetapan dasar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses penggubalan RUU berkenaan dimulakan pada 2019 menerusi penyediaan draft asal.
“Kita telah melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), jadi ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kelewatan untuk memuktamadkan RUU ini.
“Perbincangan masih berterusan, selain itu kita juga masih berurusan dengan pihak di peringkat kerajaan negeri untuk mendapatkan sokongan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Perikatan Nasional – Rantau Panjang) yang ingin tahu langkah yang diambil bagi memastikan kesejahteraan pekerja sosial di negara ini dan apakah status terkini proses konsultasi terhadap RUU PKS.
Parlimen: RUU Profesion Kerja Sosial dicadang dibentang tahun ini – Nancy
Tambah Nancy, fahaman awam yang terhad mengenai peranan dan nilai pekerja sosial turut memberi kesan kepada kelulusan perkhidmatan berkenaan.
“Fahaman awam (mereka) melihat pekerja sosial menjalankan kerja amal atau sukarela boleh dibuat oleh semua orang sedangkan hakikatnya bukan begitu.
“Ini memberi kesan kepada permintaan untuk perkhidmatan ini dipercepatkan,” jelasnya lagi. – TVS