KUALA LUMPUR, 19 Mac: Kompleks Sukan Sri Aman perlu ditambah baik untuk kegunaan masyarakat tempatan terutamanya golongan belia, tegas Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Ahli Parlimen Sri Aman itu berkata, beliau berharap cadangan itu dapat diberi perhatian oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Kata beliau, kemudahan itu jika ditambah baik kelak juga boleh dimanfaatkan oleh pelajar sekolah di kawasan sekitar untuk menjalani latihan sukan.
“Pembangunan fasiliti sukan memang sangat diperlukan di Sri Aman.Bilangan penduduk di sana semakin bertambah menyebabkan kita memerlukan kemudahan yang lebih baik.
“Golongan belia dan masyarakat juga memerlukan kemudahan fizikal untuk mereka beriadah dan melakukan aktiviti yang beri kesan baik kepada kesihatan,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Sementara itu Doris Sophia berkata, Sri Aman sangat bertuah kerana Timbalan Menteri di MYSED, Datuk Snowdan Lawan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin yang terletak di bawah kerusi Parlimen Sri Aman.
“Pembinaan Stadium Mini Balai Ringin yang bakal siap tidak lama lagi akan dapat memberi kemudahan kepada golongan belia di DUN Balai Ringin dan kawasan berdekatan dalam mengasah bakat mereka dalam bidang sukan.
“Stadium mini ini dibina menggunakan peruntukan sebanyak RM15 juta oleh Kerajaan Sarawak dan saya berharap dapat digunakan sebaik mungkin bagi mencungkil bakat-bakat tempatan yang berpotensi dalam bidang sukan,” jelasnya. -TVS