SIBU, 19 Mac: Dua individu di sini kerugian lebih RM42,000 akibat diperdaya sindiket penipuan dengan pinjaman wang dan pelaburan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, kes pertama melibatkan seorang pengurus syarikat lelaki berusia 50-an yang mengalami kerugian RM26,240 selepas tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook pada 14 Mac lalu.
Katanya, mangsa telah berhubung dengan wakil syarikat pinjaman berkenaan melalui WhatsApp untuk membuat pinjaman sebanyak RM35,000.
“Mangsa kemudian diarahkan untuk menyerahkan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pendaftaran permohonan pinjaman dan diminta untuk membuat bayaran bagi tujuan pemprosesan pinjaman.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah membuat lima kali pindahan wang berjumlah RM26,240 ke dalam dua akaun bank tempatan seperti mana diarahkan oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa menyedari ditipu selepas kesemua transaksi pindahan wang dilakukan namun wang pinjaman masih belum dikreditkan ke dalam akaun mangsa.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 40-an menjadi mangsa tawaran skim pelaburan secara dalam talian tidak wujud hingga kerugian lebih RM16,000.
Zulkipli berkata, mangsa yang bekerja sebagai khidmat pelanggan itu telah menekan satu pautan berkenaan dengan kerja sambilan.
“Mangsa kemudian menerima pesanan ringkas daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Olivia yang menawarkan satu skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan 30 sehingga 50 peratus bagi setiap pelaburan berdasarkan tugasan yang diberikan.
“Pada masa sama, wanita itu telah diperdaya hingga membuat lima transaksi pindahan wang berjumlah ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM16,286,” katanya.
Kata beliau lagi, mangsa bagaimanapun berasa curiga selepas suspek mengarahkannya untuk memasukkan lagi wang berjumlah RM40,000.
Kedua-dua mangsa telah tampil membuat laporan polis di Sibu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS