KUALA LUMPUR, 19 Mac: Dewan Negara dimaklumkan tiada undang – undang khusus yang boleh memaksa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membawa balik dana ke Malaysia.
Namun jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan telah berbincang dengan GLIC dan GLC supaya mementingkan pelaburan domestik bagi mengukuhkan ekonomi negara.
“Kalau kita lihat pulangan yang mereka dapat, mungkin pada tahap yang lebih daripada sebelumnya.
“Jadi apabila pulangan itu sudah lebih daripada apa yang dijangkakan, tidak mustahil untuk mereka menukar kepada Ringgit,” katanya di sini, hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan Senator Manolan Mohamad yang bertanya tentang GLC, GLIC dan syarikat swasta Malaysia yang berada di luar negara dengan situasi di mana kerajaan menggalakkan pihak berkenaan membawa pulang lebihan keuntungan syarikat itu ke Malaysia.
Manolan juga ingin tahu berkenaan langkah perundangan untuk memaksa atau menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan yang enggan pulang ke Malaysia dalam situasi nilai Ringgit ketika ini.
Pada masa sama, Amir Hamzah memaklumkan, kerajaan turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat swasta bagi mengurangkan tekanan kepada Ringgit.
“Ini termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguh pelaburan baharu di luar negara,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan menjangkakan ekonomi negara akan lebih kukuh pada 2024 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka antara empat hingga lima peratus. -TVS