KUALA LUMPUR, 19 Mac: Peralihan ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui mampu menjana keuntungan besar kepada ekonomi negara.
Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom berkata, banyak negara luar sudah mula mengutamakan tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen.
Kata beliau, ini termasuk pembinaan empangan melata bagi menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat.
“Teknologi hijau seperti ini turut berperanan mengurangkan pelepasan karbon yang memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya pada Usul Junjung Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Pele Peter menjelaskan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dapat membantu dunia menangani isu perubahan iklim yang menjadi agenda global yang harus ditangani secara menyeluruh termasuk Malaysia.
“Peluang melalui peralihan tenaga ini perlu diambil oleh Malaysia memandangkan negara ini mempunyai sumber air dan sungai yang banyak bagi tujuan berkenaan.
“Negara akan mendapat keuntungan sehingga berbilion ringgit melalui peralihan ini kelak,” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan ini juga pasti dapat menjana pendapatan negara yang tidak akan membebankan rakyat dari segi kos sara hidup, kos perkhidmatan serta kos-kos keperluan harian yang lain. -TVS