KUALA LUMPUR, 19 Mac: Sebanyak 5,692,166 atau 25.9 peratus individu yang berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar dan mengemaskini maklumat menerusi Sistem Pangkalan Data Utama Negara (PADU) setakat semalam, kata Rafizi Ramli.
Menurut Menteri Ekonomi itu, pihaknya akan terus mempergiat usaha bagi memastikan lebih ramai rakyat berbuat demikian sekali gus memastikan tidak ada golongan yang tertinggal menerima bantuan kerajaan.
“Berdasarkan mekanisme sedia ada, masih terdapat isi rumah yang layak tetapi tercicir menerima bantuan kerajaan.
“Ralat kemasukkan dan pengecualian dapat dikurangkan apabila data PADU dikemaskinikan dan diverifikasi oleh rakyat sebelum keputusan dan penentuan kelayakan dilaksanakan,” katanya semasa Sidang Dewan Negara hari ini.
Jelas Rafizi, setakat 18 Mac 2024 beliau telah mengumumkan 4,752 lokasi di seluruh negara yang telah dipetakan dan dikira berisiko tercicir.
“Ini kerana kita sudah ada maklumat sehingga ke peringkat geo lokasi, semua lokasi ini telah disemak dengan melibatkan semua bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini sama ada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya serta dipetakan dengan pendaftaran sistem PADU.
“Secara profilnya, semua lokasi tersebut dikira berpendudukan B40 ke bawah tetapi tidak ada senarai penerima di dalam bantuan yang disediakan kerajaan sekarang,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan telah memperluaskan program promosi dan hebahan bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang kepentingan mengemaskini maklumat menerusi PADU. -TVS