KUCHING, Mar 19: Sebanyak 128 kekosongan jawatan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibuka di seluruh Sarawak.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Dato’ Khaw Kok Chin berkata perkara itu memperuntukkan pegawai polis yang berpengalaman untuk mengisi kekosongan.
“Kami akan mencari anggota polis yang berpengalaman untuk mengisi jawatan kosong di daerah yang tiada mempunyai kekuatan pegawai atau anggota di dalam 13 daerah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa, Malaysia, hari ini.
Khaw memberitahu gejala penyalahgunaan dadah di negeri ini dilaporkan dalam keadaan terkawal.
Namun begitu, beliau menegaskan JSJN komited membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di Sarawak dengan mewujudkan sebuah pejabat Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN).
Menurutnya SNN itu bakal ditubuhkan di kawasan Tebedu sebagai inisiatif membekalkan maklumat risikan PDRM.
“Kami akan menubuhkan sebuah pejabat SNN di kawasan Tebedu untuk menjadikannya sebagai tempat pemudah cara dalam menyimpan maklumat risikan seperti kegiatan penyeludupan dadah narkotik di kawasan itu.
“Selain memperoleh maklumat, pihak kami akan bertindak awal dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah itu,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Narkotik SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dan Ketua JSJN bahagian Sarawak, ACP Mustafa Kamal Ghani Abdullah. – TVS