KUCHING, 18 Mar: Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) akan terus memperjuangkan nasib kanak-kanak yang tanpa kewarganegaraan di negeri ini dengan mempercepatkan proses kelulusan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata perkara ini mustahak untuk memberi golongan ini akses pendidikan yang wajar di samping menjamin masa depan mereka.
“Saya bersama timbalan-timbalan di kementerian kami (Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam) yang pernah menjadi guru tahu bahawa bagaimana sukarnya keadaan apabila seorang kanak-kanak itu tiada status kewarganegaraan untuk masuk ke sekolah,” katanya ditemui semasa Majlis Pembungkusan Sumbangsih Raya 2024 di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila ibu bapa terpaksa untuk membayar yuran warga asing sebab tiada kewarganegaraan.
“Kita lihat sebab kesukaran ini, kanak-kanak tidak bersekolah. Akses pendidikan tidak dapat dinikmati oleh mereka. Pendidikan itu hak asasi seorang kanak-kanak,” katanya.
Mengenai majlis pembungkusan itu, beliau berkata 11 agensi penerima yang terdiri daripada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan serta badan-badan beruniform akan menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan itu akan disampaikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 pada 20 Mac ini.
Program Sumbangsih Raya 2024 diadakan bagi menzahirkan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada anggota-anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang mengutamakan tugas demi kepentingan nusa dan bangsa semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. – TVS