KUCHING, 18 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 46 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta dalam satu serbuan pada 6 Mac lalu di sebuah rumah di Matang.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, dalam operasi tersebut, seorang suspek lelaki berusia lewat 20-an turut ditahan disyaki ahli kepada sindiket pengedaran dadah.
Katanya, pemeriksaan rapi yang dijalankan di rumah terbabit membawa kepada penemuan 45 paket teh yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 46 kilogram.
“Kesemua bungkusan tersebut disembunyikan dalam empat bungkusan pakaian terpakai yang diletakkan di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.
“Berdasarkan berat dadah yang diperolehi, dianggarkan seramai 450,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah tersebut,” katanya pada sidang media Ibu pejabat JKDM Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang ditahan merupakan salah seorang ahli sindiket yang bertanggungjawabjawab untuk melakukan agihan dan penghantaran kepada penagih-penagih di sekitar Kuching.
Siasatan lanjut juga mendapati sindiket tersebut membawa masuk dadah terbabit dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak menerusi laluan udara dengan dadah berkenaan dibungkus bersama pakaian terpakai bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya,berdasarkan sumber, JKDM percaya sindiket tersebut telah beroperasi di sekitar Kuching sejak beberapa bulan lalu.
“Suspek terbabit telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 Mac lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957. -TVS