KUCHING, 18 Mac: Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari tahun 2020 hingga Februari 2024 menunjukkan terdapat 12 kes kematian kanak-kanak di dalam kenderaan direkodkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah tersebut tiga kes berlaku pada tahun 2020, dua kes pada tahun 2021, lima kes pada tahun 2023 dan dua kes tahun 2024.

Sehubungan itu bagi memastikan perkara ini tidak berulang, kementeriannya sentiasa berusaha dengan melaksanakan beberapa inisiatif seperti meningkatkan kesedaran dan memberi peringatan melalui media massa; sebagai contoh infografik berkaitan tip elak anak tertinggal dalam kereta.
“Pelaksanaan program atau kempen ini bukan sahaja memerlukan sokongan berterusan pihak kerajaan malah sokongan dan keprihatinan masyarakat. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi menangani permasalahan ini khususnya ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Kenderaan di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, kementeriannya sentiasa menjalinkan kolaborasi yang aktif dan berkongsi maklumat bersama agensi lain seperti PDRM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta lain-lain agensi kerajaan dan swasta termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran awam agar ibu bapa tidak meninggalkan anak-anak dalam kereta sehingga menyebabkan kematian.
“Di sini saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak atas inisiatif berkolaborasi bersama My Little Reminder bagi kempen kita pada hari ini.
“Bagi tahun 2024, kementerian saya melalui JKM melaksanakan Program Advokasi Perkhidmatan TASKA yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula April 2024,” ujarnya.
Dalam pada itu, JKM juga telah mewujudkan satu Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) berdaftar.
Jelas beliau, garis panduan ini telah dikeluarkan dan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.
Ia bertujuan sebagai panduan kepada pengusaha TASKA berdaftar dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di TASKA sentiasa diutamakan.
“Pemakluman keberadaan kanak-kanak kepada ibu bapa boleh dibuat sama ada melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas (seperti short-messaging services –SMS, melalui media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan lain-lain) selewat-lewatnya dalam tempoh 30 minit dari waktu kanak-kanak sepatutnya sampai ke TASKA,” katanya.
Langkah tersebut katanya bertujuan mencegah ibu bapa daripada lupa dan sentiasa cakna tentang keberadaan kanak-kanak di TASKA. – TVS