KUALA LUMPUR, 18 Mac: Kerajaan perlu melaksanakan strategi untuk menambah pendapatan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tidak mampan, tegas Senator Susan Chemerai Anding.
Ahli Dewan Negara itu berkata, keutamaan perbelanjaan juga harus memastikan sumber digunakan secara efisien dan berkesan terutamanya membabitkan perkara kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.
“Selain itu, kerajaan juga perlu telus melaporkan prestasi fiskal dan kemajuan dalam usaha menurunkan sasaran defisit serta mempastikan wujudnya mekanisme untuk memantau dan kebertanggungjawapan,” katanya semasa sidang Dewan Negara hari ini.
Tambah Susan Cemerai, kerajaan juga perlu meneliti dengan lebih terperinci mengenai faktor utama yang menyumbang kepada defisit fiskal yang tinggi sekali gus mengambil langkah segera untuk mengatasi perkara berkenaan.
“Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawan Fiskal 2023 yang telah diluluskan Parlimen pada hujung tahun lalu dilihat dapat menggalakkan disiplin fiskal serta membolehkan ketelusan berkenaan dengan perbelanjaan kerajaan,” jelasnya.
Tambahknya, ini memberi keupayaan kepada kerajaan untuk meningkatkan pengurusan kewangan awam serta menunjukkan komitmen dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara kelak. -TVS