MUKAH, 18 Mac : Lapan individu termasuk seorang seorang wanita dicekup ketika sedang asyik bermain judi mahjong dalam satu serbuan polis dalam sebuah premis di sini, petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, polis melakukan intipan sebelum melakukan serbuan sehingga berjaya membawa penangkapan ke atas semua suspek yang berusia 43 hingga 63 tahun itu pada 4 petang.
Semasa serbuan katanya, terdapat dua lelaki dan seorang wanita sedang bermain judi jenis mahjong di satu meja manakala lima lelaki yang lain sedang memerhatikan mereka bermain.
“Tangkapan dilakukan ke atas terhadap semua mereka yang berada dalam premis tersebut. Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM2,342, tiga biji buah dadu, 112 biji buah mahjong, dua meja dan lapan kerusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Mukah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberi maklumat jika ada sebarang aktiviti perjudian agar pihak polis dapat mengambil tindakan,” katanya. – TVS