Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk dan Bakul Makanan di Dewan Perpaduan Kampung Paroh, Kuching, hari ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

Tuntutan Akta Laut Wilayah 2012 oleh Sarawak adalah wajar

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 17 Mac: Tuntutan Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] agar hak Sarawak dikembalikan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan sebagai wajar dan selari dengan undang-undang yang wujud di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tuntutan itu merupakan salah satu perkara yang sedang dalam fasa perbincangan dan perundingan setelah 10 perkara dalam MA63 berjaya diselesaikan setakat ini.

“Sarawak menuntut (hak) disebabkan berdasarkan undang-undang yang berada di negeri ini dengan Sarawak dulu memang mempunyai sempadan laut sendiri, pelantar benua dan sebagainya.

“Sehinggalah undang-undang (akta) diperkenalkan di peringkat Persekutuan dengan Sarawak berpendirian ia tidak merujuk negeri ini. Ini kerana, di bawah perlembagaan, jika pindaan undang-undang di Sarawak, ia perlu mendapat persetujuan di peringkat negeri, khususnya daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Pada pandangan peribadi saya sendiri memang akan menyokong, cuma dari sudut teknikal dan perundangan sudah pasti ia bukan mudah untuk kita selesaikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk dan Bakul Makanan di Dewan Perpaduan Kampung Paroh di sini, hari ini.

Program anjuran Kolej SIDMA dan Parlimen Petra Jaya itu menyaksikan seramai 110 penduduk Kampung Paroh menerima bantuan bakul makanan dan bubur lambuk yang disampaikan sendiri oleh Fadillah.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sekiranya persetujuan dicapai antara Putrajaya dan Sarawak, perkara itu akan dibawa ke jawatankuasa teknikal dan seterusnya ke Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Baru-baru ini, pengamal undang-undang, Shankar Ram menegaskan pengembalian hak tersebut wajar disegerakan.

Katanya, ia sepatutnya diberikan kembali kepada Sarawak dan tuntutan tersebut sebaik-baiknya perlu diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah iaitu sebelum akhir tahun ini.

Untuk rekod, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] menggariskan hak negeri ke atas pelantar benua.

Perluasan kepada akta itu mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika (5.5 kilometer) dari pantai dengan ia turut menghalang keupayaan negeri untuk mengenakan undang-undangnya sendiri ke atas perkara yang melangkaui tiga batu nautika di laut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan