LIMBANG, 16 Mac: Lazimnya kemahiran menebar roti canai dikaitkan dengan tugas kaum lelaki ekoran ia memerlukan kudrat lebih bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Berbeza situasi bagi Fauziah Pudin 43, dari Kampung Patiambu di sini yang lincah sebagai penebar roti canai untuk menjana pendapatannya.
Meskipun bekerja sebagai penebar roti canai, Fauziah mendedahkan dirinya tidak pernah berasa malu dengan laluan yang telah diplih.
“Disebabkan minat mendalam saya memilih untuk menebar roti canai.
“Lagipun saya memang tidak boleh ‘berjauhan’ dengan roti dan tepung, memang sudah sebati dengan diri selain perasaan minat yang mendalam,”katanya ketika ditemui wakil TVS di Bazar Ramadan Limbang pada Sabtu.
Fauziah menambah tahun ini akan menjadi titik tolak kepadanya untuk terus mengukuhkan lagi kerjayanya sebagai penebar roti canai selepas ini.
Beliau yang mempunyai ramai pelanggan setia sejak lebih 20 tahun itu berharap lebih ramai kaum Hawa tidak kekok sebagai penebar roti canai.
Nada serupa diluah Angelina Miston, 43, yang turut begelar penebar roti canai di Bazar Ramadan jfu.
Menurutnya dirinya bekerja sebagai penebar roti canai sejak 15 tahun lalu.
Meskipun jarinya pernah melecur terkena minyak panas namun kecelakaan itu tidak menghentikan minatnya untuk menebarkan roti canai.
Beliau berkata suaminya yang juga peniaga roti canai Mohd Firdaus Tan Abdullah 45, merupakan tulang belakang di atas kejayaan sebagai penebar roti canai sehingga mampu menguasai kemahiran menebar roti canai.
“Saya sangat gembira menebar roti canai kerana tidak semua perempuan boleh menebar roti canai, dan kalau ada pun kerjaya ini sangat unikla bagi seorang wanita,” ujarnya lagi. -TVS