MIRI, 17 Mac: Program pengagihan bubur lambuk yang seringkali diadakan apabila tibanya Ramadan dapat dijadikan sebagai platform yang mampu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program ini telah melibatkan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum agama dan budaya sama ada penganjur atau penerima bubur lambuk.
“Saya telah pun terlibat dalam memberi bubur lambuk di banyak tempat di kawasan saya dan kita beri bubur lambuk kepada semua tak kira kaum atau agama.
“Inilah yang menjadi satu platform yang telah memperkukuhkan semangat keharmonian, perpaduan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya semasa Program Gerak Rahmah: Sumbangan Bubur Lambuk di Masjid An-Nur di sini, hari ini.
Lebih 200 bubur lambuk diagihkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pujut Tanjong Batu kepada penduduk sekitar.
Program ini merupakan program tahunan buat KRT tersebut untuk meraikan penduduk sempena bulan puasa. – TVS