PULAU BRUIT, 17 Mac: Ruang letak kereta awam akan dibina di tujuh kampung di sini menggunakan peruntukan berjumlah RM304,500.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata dana itu telah diserahkan kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) bagi pelaksanaannya.
Kampung terbabit ialah Tekajong, Penipah, Penuai, Penibong, Kut, Semop dan Sebako. Untuk Tekajong, beliau menjelaskan dua tempat letak kereta akan dibina di kampung berkenaan.
“Tapak letak kereta awam ini adalah untuk kemudahan pengunjung yang menziarahi kampung setiap kali hari perayaan atau cuti awam,” katanya pada majlis ringkas penyerahan dana sumbangan di sini pada Sabtu.
Selain peruntukan itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut menyerahkan dana RM34,000 untuk perbelanjaan keagamaan semasa Ramadan ini kepada 26 jawatankuasa masjid dan surau.
Setiap masjid dalam kawasan DUN Semop menerima RM1,500 manakala setiap surau menerima RM1,000.
Jumlah keseluruhan dana disampaikan beliau ialah RM338,950.00 kepada 34 organisasi pengurusan kampung.
Pada majlis ringkas itu, Abdullah yang juga ADUN Semop turut berkongsi status beberapa projek kemudahan awam yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Saya turut menerima aduan tentang talian telefon dan internet yang terjejas teruk selama hampir tiga minggu.
“Ada yang mengadu berhadapan kesukaran menukar tong gas kuning ke merah, isu kelewatan pembinaan masjid baru di tiga kampung dan isu kesesakan jalan dan penggunaan feri semasa menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Semua aduan dan perkara yang dibangkit akan diajukan kepada agensi yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai keluhan masyarakat tentang kenaikan harga barang susulan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) beliau tidak menolak kemungkinan ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan demi meraih keuntungan.
Menurutnya, kenaikan SST dari enam peratus ke lapan peratus bermula 1 Mac lepas sudah tentu akan mempengaruhi kenaikan beberapa barangan keperluan asas.
“Saya menyeru supaya Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut dengan kesederhanaan, yang penting ialah aktiviti menziarahi ibu bapa dan saudara. Tidak perlu membazir dengan pembelanjaan yang banyak kerana dalam keadaan ekonomi sekarang, menabung lebih baik dari meminjam,” katanya.