KEPALA BATAS, 17 Mac: Menu kurma kepala kambing yang jarang ditemui bukan sahaja memberi keterujaan, bahkan mampu mencabar diri kepada sesiapa yang tidak pernah mencubanya.
Kira-kira 600 pengunjung program ‘Iftar On The Road’ di Karnival Mahabbah Ramadan/Syawal Bertam di sini berpeluang menikmati hidangan itu menerusi 150 talam juadah berbuka puasa yang bersamaan 150 kepala kambing yang diberikan secara percuma.
Setiap talam turut dihidangkan bersama nasi putih, telur rebus, kuih-muih, buah tembikai dan kurma yang boleh dinikmati empat orang.
Pengunjung, Mohd Suhaide Hanafi, 44, berkata dia sanggup datang dari Sungai Petani, Kedah untuk merasai pengalaman mencuba menu tersebut buat pertama kali.
“Anak-anak pun teruja dan terkejut bila mendengar mengenai juadah ini, apatah lagi dapat makan bersama keluarga dalam satu talam.
“Cuma, itu mereka belum tengok sendiri lagi bagaimana rupa makanan tersebut, mungkin lebih terkejut bila sudah dihidangkan,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sementara itu, pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Imran, 39, berkata, rasa masakan tersebut begitu unik berbanding daging kambing biasa.
“Isinya ada sedikit liat dan perlu sedikit usaha untuk mencari bahagian yang mempunyai isi. Masakan kurma merupakan kombinasi baik kerana sesuai dengan cita rasa orang tempatan,” katanya.
Sementara itu, penganjur program, Zaini Aboo Hassan berkata, kaedah penyediaan turut melalui proses yang panjang iaitu mengambil masa 24 jam selain tempahan kepala kambing dibuat sejak sebulan lalu.
“Kita menggunakan kepala kambing kampung segar yang diperoleh daripada kira-kira 30 pembekal untuk mendapatkan 150 kepala kambing.
“Proses memasaknya juga lama yang bermula dengan membakar kepala tersebut selain membuang bulu serta membersihkan gigi dan telinga yang bukan mudah dibuat,” katanya.
Acara itu diadakan dengan menginspirasikan suasana berbuka puasa di Mekah bagi memeriahkan waktu iftar bersama masyarakat. – TVS