KUCHING, 17 Mac: Seorang penunggang motosikal yang tular di media sosial baru-baru ini kini ditahan reman kerana dipercayai melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata lelaki berumur 18 tahun itu ditahan reman selama dua hari – 18 dan 19 Mac.
“Pada 16 Mac, lebih kurang 9.30 malam suspek, seorang lelaki tempatan iaitu penunggang motosikal telah menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Suspek ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Turut dirampas, sebuah motosikal berwarna coklat keemasan milik suspek.
Semakan terhadap suspek mendapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing suspek juga negatif, katanya.
Pada 14 Mac, suspek dipercayai melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain di Jalan Demak.
Susulan insiden itu, video memaparkan suspek menunggang motosikal bersama seorang lagi lelaki, tular di Facebook. -TVS