MIRI, 16 Mac: Seramai 150 orang golongan asnaf di sekitar Miri disantuni Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Miri bersama sebuah klinik tempatan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata kolaborasi tersebut merupakan contoh terbaik dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan.
“Penganjuran majlis ini merupakan satu objektif yang sungguh mulia bagi menyantuni golongan yang kurang berkemampuan. Saya harap sedikit sebanyak ia dapat meringkankan beban terutamanya dalam bulan Ramadan ini khasnya bagi 150 orang golongan asnaf dan dimanfaatkan oleh masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penyampaian Sumbangan Kebajikan Bulan Ramadan 2024 di Masjid Miri pada Sabtu.
Sebastian menambah majlis sebegini dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan sosial selain memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
Malah beliau turut berharap supaya lebih banyak lagi agensi berkolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melaksanakan kebajikan kepada orang ramai. -TVS