KUCHING, 16 Mac: Dewan Penghulu Haji Hamid bin Sulong di Kampung Bako Tengah bakal berwajah baharu, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Menurutnya dewan berkenaan akan dinaik taraf bagi menangani isu kehadiran burung yang masuk ke dalam dewan terutama semasa musim penghijrahan haiwan berkenaan.
Hazland memberitahu, reka bentuk bangunan yang berlubang itu tidak bersesuaian dengan lokasi dewan yang berhampiran kawasan persinggahan burung di Bako Buntal Bay (BBB).
“Insha-Allh saya akan sediakan dana untuk membaik pulih dan menutup lubang pada dinding dewan yang merupakan reka bentuk yang tidak begitu tepat
untuk kawasan kita.
“Sebenarnya di kawasan Bako ada satu kawasan di sebelah hilir yang kita gelar sebagai Bako Buntal Bay (BBB) merupakan tempat persinggahan burung burung antarabangsa daripada kutub utara berpindah ke kutub selatan pada 1 Disember atau November tiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada acara agihan bubur pedas kepada masyarakat di Dewan Penghulu Haji Hamid bin Sulong di Kuching pada Sabtu.
Masalah berkenaan katanya mungkin merupakan suatu kecuaian bagi kontraktor pelaksana kerana tidak menyedari perkara tersebut sebelum ini.
Oleh itu, Hazland memberi jaminan bahawa perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin demi keselesaan semua pengguna dewan berkenaan. -TVS