KUCHING, 16 Mac: Seramai 100 orang anak-anak yatim di sekitar Kuching dan Samarahan diraikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam satu majlis berbuka puasa di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Sabtu.
Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) serta isteri, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud itu turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak dari tiga pusat tahfiz dan empat buah sekolah rendah tersebut.
Antara pusat tahfiz yang terlibat ialah Mahad Darul Al Falah, Pusat Pengajian Tafaqquh dan Tahfiz Al-Makki serta Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah.
Sementara Sekolah Kebangsaan (SK) yang terlibat ialah SK Rakyat Jalan Bolhasan, SK Rakyat Tupong (Petra Jaya), SK Meranek dan SK Kampung Melayu (Samarahan).
Usai berbuka puasa, Awang Tengah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah bersama seramai 800 orang kakitangan ahli keluarga PUSAKA, anak-anak syarikat dan tetamu jemputan.
Majlis itu juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak PUSAKA kepada masyarakat selain bertujuan merapatkan hubungan silaturahim sesama tetamu yang hadir.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Penasihat PUSAKA, Datu Hashim Bojet dan Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah. – TVS