KUCHING, 16 Mac: Penganjuran program memasak bubur pedas secara gotong-royong diyakini dapat melahirkan masyarakat yang prihatin dan dinamik dalam kalangan komuniti.
Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman berkata program seumpama itu berupaya menjadi platform bermakna dalam usaha untuk merapatkan silaturahim serta melibatkan banyak penyertaan daripada lapisan masyarakat bersama para pemimpin komuniti.
Justeru itu, beliau berharap agar warga kota akan terus mengambil inisiatif dalam meneruskan usaha untuk menganjur program tersebut di kawasan kejiranan masing-masing.
“Ini merupakan tradisi yang harus kita kekalkan dalam masyarakat kita.
“Ia juga satu cara kita merapatkan silaturahim antara kita di dalam masyarakat ini,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Pelancaran Program Agihan Bubur Pedas 2024 Kejiranan Mesra (KJM) N5 Demak Laut di di Dewan Penghulu Haji Hamid bin Sulong di Kuching pada Sabtu.
Program tersebut merupakan anjuran kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Kejiranan Mesra (KJM) N5 Demak Laut.
Hilmy menambah, program hari ini membentuk masyarakat yang hidup saling menghormati, bertoleransi dan bekerjasama sekali gus melambangkan perpaduan dan keharmonian hidup dalam komuniti terutama bagi Sarawak.
Pada masa sama katanya ia turut menjadi peluang kepada masyarakat untuk berbuat baik sekali gus menambah amalan pahala di bulan mulia ini. -TVS