Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Payung Rahmah akan diteruskan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat. Foto hiasan Envato.

Teknologi AI perkasa, caknakan hak pengguna

ByNur Suhaida Muliyono

Seiring dengan perkembangan teknologi terkini yang sedang mengadaptasi kecerdasan buatan (AI), ‘Fair and Responsible AI for Consumers’ telah diangkat sebagai tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2024.

Tema tersebut dipilih mengambil kira penggunaan teknologi AI di semua peringkat usia pengguna pada dewasa ini.

Laporan khas sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2024 yang disediakan Aida Muliyono dan jurukamera Zaim Zharfan mengupas mengenai elemen-elemen penting yang perlu diketahui pengguna.

 

Dedah AI sejak awal usia

AI merupakan satu bentuk teknologi yang membolehkan komputer untuk berfikir seperti manusia dan mampu menyelesaikan tugasan yang memerlukan kepintaran manusia.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata dengan AI, komputer boleh belajar dari data, mengenali corak serta melaksanakan tindakan tanpa bantuan manusia.

“Pada masa kini, kanak-kanak tadika pun boleh main gajet. Jadi kita perlu mendidik kanak-kanak dari peringkat kecil supaya mereka peka terhadap teknologi ini.

“Antara kegunaan AI ini adalah untuk membuat analisis perbelanjaan, memberikan cabaran pembelian, membantu perancangan kewangan dan mengoptimumkan perbelanjaan,” katanya ketika ditemui pemberita TVS di pejabatnya.

 

Lapan hak pengguna

Beliau turut menekankan mengenai lapan hak pengguna yang perlu diketahui bagi melindungi mereka dalam aktiviti perniagaan.

Hak-hak tersebut termasuk hak untuk mendapatkan keperluan asas, membuat pilihan, mendapat ganti rugi, mendapat maklumat, mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat, menyuarakan pendapat, mendapat pendidikan pengguna dan mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat.

Apabila para pengguna tahu mengenai hak mereka, mereka akan lebih peka dan cakna terhadap sebarang bentuk ketirisan atau penipuan yang berlaku dalam aktiviti perniagaan.

 

Aduan tertinggi di Sarawak pada 2023

Justeru aduan yang diterima pihak KPDN Sarawak juga menunjukkan angka yang agak besar memandangkan masyarakat sudah mengerti memperjuangkan hak mereka sebagai pengguna.

“Pada tahun 2023, aduan yang tertinggi diterima di seluruh Sarawak adalah aduan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 489 aduan. Kedua, aduan berkaitan dengan harga iaitu 353 aduan dan ketiga, aduan berkaitan barang kawalan iaitu 208 aduan.

“Kita sebagai pengguna perlu peka terhadap unsur-unsur penipuan yang ada ataupun teknik dan cara orang menipu dalam talian. Jangan kita mudah percaya terhadap apa yang ada dalam talian tu. Kita perlu rujuk kepada pihak berwajib, kita pastikan dahulu wujud ataupun tidak transaksi ataupun perniagaan tersebut. Kita boleh rujuk kepada pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan KPDN,” ujarnya lagi.

 

Pemantapan fungsi KPDN

Fungsi KPDN juga akan dimantapkan berteraskan empat fokus utama iaitu ketangkasan penguatkuasaan, pemacu ekonomi domestik, daya upaya dan advokasi kepenggunaan serta National Action Council on Cost of Living (NACCOL) atau Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

Empat fokus utama menggariskan K – Ketangkasan penguatkuasaan, P – Pemacu ekonomi domestik, D – Daya upaya dan advokasi kepenggunaan dan N – National Action Council on Cost Of Living (NACCOL) / Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

“Kita sudah ada banyak operasi melalui pegawai penguatkuasa untuk memastikan dan mengelakkan berlakunya ketirisan dan penipuan dalam aktiviti perniagaan. Kita akan ambil tindakan terhadap peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan.

“Kita akan pastikan peniaga-peniaga jalankan aktiviti perniagaan dengan lebih harmoni supaya tiada unsur penipuan dan pengguna pula memahami hak mereka dan mereka tidak mudah untuk ditipu. Bila ada pengguna yang bijak, peniaga pun tidak mudah untuk menipu.

“Sinonim dengan nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, maka kita akan fokus juga kepada kos sara hidup rakyat kita iaitu pada tahun ini juga kita akan menggerakkan banyak aktiviti, contohnya subsidi bersasar itu yang akan kita laksanakan. Kita juga memastikan yang penguatkuasaan kita membanteras akviti-aktiviti ketirisan dan sebagainya,” ulasnya lanjut.

 

Inisiatif Payung Rahmah diteruskan

Kementerian itu di peringkat Sarawak turut menjalin kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sekolah-sekolah menengah dan rendah bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna melalui pelbagai program yang dilaksanakan bersama.

Salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan ialah Payung Rahmah dan konsep tersebut kata beliau, akan diteruskan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat.

Terdapat beberapa program di bawah konsep Payung Rahmah antaranya Menu Rahmah, Jualan Rahmah, Bazar Ramadan Rahmah dan Bakul Rahmah.

Pengguna tahu, sedar hak mereka

Melihat daripada perspektif orang ramai pula, rata-rata mereka tahu mengenai hak mereka sebagai pengguna.

Masing-masing mengakui memikul tanggungjawab dalam memajukan ekonomi negara dan untuk melaksanakan menjayakannya ia memerlukan maklumat yang sahih serta perlindungan undang-undang yang berkesan demi membela kepentingannya.

Adalah penting untuk pengguna mengetahui hak-hak asasi mereka antaranya hak mendapat pendidikan pengguna, hak untuk memilih, serta mendapat mutu dan layanan sepatutnya di tempat jual beli.

Bagi pengamal media, Azreen Keria, amat penting pengguna mengetahui hak mereka agar dapat meminta peniaga bertanggungjawab jika mereka melakukan kecuaian atau melanggar undang-undang.

Beliau turut menegaskan kepada para peniaga di Sarawak khususnya, amanah dalam menjalankan perniagaan mereka dan tiada unsur yang tidak sewajarnya dipraktikkan dalam aktiviti jual beli yang dijalankan.

“Sebagai pengguna, sememangnya kita harus memanfaatkan hak pengguna yang ada sebab itu adalah kepentingan dan itu adalah hak kita.

“Saya harap jangan ada ketirisan berlaku. Contohnya barang-barang keperluan asas seperti gula, beras, minyak sebab itu adalah keperluan asas kita dan itu adalah barangan bersubsidi. Jadi jangan ada unsur-unsur menyembunyikan barang-barang keperluan asas sebab sekarang memang semua kita memerlukan,” katanya lagi.

 

Kesedaran perlu selari dengan perkembangan ekonomi

Sependapat dengan Azreen, Rozlin Rosmin yang merupakan penjawat awam turut akan memanfaatkan hak mereka sebagai pengguna dengan sepenuhnya dan akan menggunakan platform yang telah disediakan untuk membuat aduan di saluran yang betul.

Rozlin pada masa sama turut menyuarakan harapan beliau agar kesedaran pengguna mengenai hak mereka adalah selari dengan kemajuan ekonomi yang sedang dihadapi Sarawak.

“Sekiranya saya ada aduan, saya akan salurkan kepada platform-platform yang sudah ditetapkanlah, contohnya Pusat Pengurusan Aduan Pengguna dan sebagainya. Tetapi bagi saya, untuk menyuarakan pendapat dalam zaman teknologi seperti sekarang ini, platform media sosial menjadi antara platform yang terbaik sebab orang akan lebih dengar menerusi media sosial itu.

“Kita dapat lihat Sarawak sekarang dari sudut ekonomi semakin hebat, semakin bergerak maju, semakin ke depan. Jadi saya harap kerajaan negeri juga menitikberatkan aspek hak pengguna untuk memastikan semua pengguna khususnya di Bumi Kenyalang ini memahami apa kepentingan mereka, tahu bagaimana untuk salurkan aduan dan sebagainya. Jadi tahap kesedaran itu perlu selari dengan peningkatan ekonomi negeri,” ujarnya lagi.

Berdasarkan pemerhatian, menerusi isu-isu yang dibangkitkan, dapat disimpulkan bahawa pengguna memahami hak mereka ketika membuat pembelian sama ada dari segi kualiti dan sebagainya. Tuntasnya, sekiranya pengguna berhadapan situasi pembelian yang kurang memuaskan, mereka tahu, mampu dan berani bertindak mengikut saluran yang betul.

Justeru, jadilah pengguna bijak, bermaklumat dan berani bertindak serta ketahui hak anda sebagai pengguna.

Manfaatkan semua saluran aduan yang telah disediakan bagi membantu usaha kerajaan membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang-undang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan