KUCHING, 14 Mac: Sarawak kini terkedepan dalam penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan sumber air, angin dan suria.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata inovasi tersebut merupakan dedikasi kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi hijau.
“Kerajaan negeri komited menjadikan Sarawak sebagai hab serantau dan pusat tenaga untuk tenaga boleh diperbaharui.
“Hasrat itu mampu dicapai sekiranya Sarawak mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan pembentangan berkenaan “Green Economy: Achievement, Challanges and The Way Forwards” di I-CATS University College di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata untuk memenuhi komitmen bagi mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, Sarawak melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi mengembangkan pelan tindakan ekonomi strategik.
“Saya yakin sekiranya kita ingin menjadi hab serantau dan pusat tenaga untuk tenaga boleh diperbaharui, kita harus meningkatkan peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui.
“Sekiranya peratusan itu berjaya ditingkatkan, ia bukan sahaja mencukupi untuk keperluan industri dan pelabur tetapi kita mempunyai sumber mencukupi untuk dieksport dan kini ia masih dalam peringkat rundingan,” ujarnya.
Green Economy: Achievement, Challanges, and The Way Forwards merupakan syarahan terbuka untuk mempromosikan Ekonomi Hijau dari perspektif Kerajaan Negeri Sarawak.
Ia merupakan platform untuk berkongsi ilmu, maklumat dan hala tuju kerajaan negeri dalam membangun polisi sumber tenaga boleh diperbaharui sekali gus mengajak rakyat menggembeleng tenaga ke arah pembangunan ekonomi hijau sejajar dengan matlamat PCDS 2030 menjadikan Sarawak berpendapatan tinggi menjelang 2030. – TVS