KUALA LUMPUR, 14 Mac: Royalti minyak yang menjadi antara 15 tuntutan asas yang masih dalam perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan tahun ini, tegas Dato Sri Doris Sophia Brodi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Aman berkata, pembayaran berkenaan akan membolehkan Sarawak dan Sabah memiliki sokongan kewangan dan seterusnya menyemarakkan pembangunan di kedua-dua wilayah tersebut.
Parlimen: Royalti minyak, pembayaran tunai petroleum antara tuntutan MA63 dalam perbincangan
“Ini merupakan hak kita (Sabah dan Sarawak) dan mesti ditunaikan.
“Kita tidak meminta perkara lain (cuma) beri semula hak kita kerana kita tahu apa yang perlu dilakukan apabila hak itu telah diberikan sepenuhnya,” katanya kepada TVS di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum merupakan antara 15 tuntutan asas yang masih dalam perbincangan MA63 selain mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua.
Mengulas lanjut, Doris Sophia optimis kewujudan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) mampu mempercepatkan proses penyelesaian yang melibatkan semua tuntutan asas MA63 yang masih berbaki itu, walaupun ianya mengambil sedikit masa.
“Seperti yang kita tahu, dalam jawatankuasa ini terdiri daripada menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak yang dapat membantu mempercepatkan proses yang berkaitan.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Malaysia di Sarawak tahun lepas menegaskan bahawa MA63 bukan satu pekara yang dalam perundingan, tetapi perlu dilaksanakan,” jelasnya.
Sehubungan itu Doris Sophia berharap kata-kata Perdana Menteri itu dapat dilaksanakan. -TVS