KUALA LUMPUR, 14 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pemeriksaan di 3,099 premis sempena Op Pantau.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, operasi pada 12 Mac dan semalam itu menyaksikan 11 kes dikesan termasuk enam yang melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Jelas beliau, KPDN telah mengeluarkan notis kepada peniaga tersebut untuk memberi maklum balas mengenai harga yang ditawarkan.
“Kita juga mengharapkan aduan spesifik supaya boleh lakukan pemeriksaan di lokasi yang dinyatakan dalam aduan, berbanding diviralkan harga tersebut.
“(Contohnya) kita buat pemantauan di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), memang ada karipap yang (dijual) mahal namun pemantauan di tempat sama menunjukkan ada (peniaga) yang menjual karipap pada harga yang lebih rendah, ini berbalik kepada pengguna (perlu bijak membuat pilihan),” katanya pada waktu Pertanyaaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Barisan Nasional – Pekan) mengenai mekanisme aduann dan tempoh masa tindakan yang dapat diambil menerusi Op Pantau yang dilakukan oleh KPDN.
Sementara itu, Mohd Armizan turut memaklumkan, Op Pantau tidak hanya dilaksanakan di bazar Ramadan sahaja sebaliknya turut melibatkan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.
“Ini untuk memastikan tidak ada pencatutan sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya. -TVS