KUALA LUMPUR, 14 Mac: Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan kerjasama semua pihak khususnya Ahli Parlimen bagi berdepan ‘tekanan industri’ berhubung kawalan yang ingin dilaksanakan terhadap industri rokok dan vape.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata berdasarkan pengalaman ketika KKM ingin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG), berlaku pertindihan pandangan mengenai perkara itu.
“Apabila tekanan (pihak industri) memasuki Parlimen, jumpa Ahli Parlimen, ini mempengaruhi keputusan tersebut.
“Saya berharap sekiranya kita benar – benar ingin tolak vape dan rokok, harus bermula di Parlimen, saya cadangkan Ahli Parlimen jangan hisap vape di sini, cari tempat yang bersesuaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (Perikatan Nasional – Kapar) yang ingin tahu sejauh mana program intervensi dan advokasi yang dilakukan untuk membendung trend bendung menghisap rokok elektrik serta sama ada kerajaan mempunyai dasar untuk bebas dari pengaruh industri rokok dan vape.
Sementara itu beliau memaklumkan, berlaku peningkatan penggunaan vape dalam kalangan wanita di negara ini.
“Data pada 2017 menunjukkan sebanyak 2.8 peratus terlibat dengan vape dan pada 2022 pula menunjukkan peningkatan kepada 6.2 peratus,” katanya.
Berhubung perkembangan sama, beliau menjelaskan seramai 2,413, 761 orang pelajar sekolah rendah di seluruh negara telah disaring menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK).
Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 374 orang pelajar yang didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok.
“Bagi pelajar sekolah menengah, seramai 1,540, 035 orang telah disaring dan 38,010 orang yang didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok,” katanya.
Jelas beliau, kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) telah berjaya memberi latihan kepada 141 Guru Kaunseling dan Guru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) untuk mengendalikan pelajar-pelajar yang terlibat dengan tabiat merokok. -TVS