JAKARTA, 14 Mac: Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia berjaya merampas dan memusnahkan ganja yang ditanam di ladang seluas empat hektar di Aceh, Indonesia.
Pengarah Pembasmian Narkotik BNN RI, Ruddi Setiawan berkata penemuan ladang ganja baru-baru ini bermula dengan siasatan suspek yang ditahan membawa 12 guni ganja seberat 200 kilogram dari Aceh ke Lampung.
Menggunakan dron, pihak berkuasa menemui dua ladang ganja yang terletak di kawasan Indrapuri dan Seulimeum, Aceh Besar pada ketinggian 600 meter dari aras laut.
“Ini adalah satu kejayaan berdasarkan hasil pemantauan kami diikuti proses siasatan rapi oleh pasukan di lapangan, sehingga kami berjaya menemui dan memusnahkan barangan haram itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata terdapat 20,000 pokok ganja sedia untuk dituai dengan ketinggian antara satu hingga dua meter atau dengan berat keseluruhan tujuh tan dan kesemuanya akan dimusnahkan.
Katanya, penemuan ini melibatkan 170 anggota gabungan yang terdiri daripada pelbagai agensi sebagai komitmen pihak berkuasa untuk memerangi dadah ini.
“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mencari suspek lain dan mereka akan berdepan hukuman mati,” katanya. – TVS