Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Roland Sagah merasmikan Sarawak Skills Cawangan Sri Aman, hari ini. Foto TVS

Sarawak Skill buka cawangan di Sri Aman, tawar peluang kepada penduduk kuasai bidang kemahiran

SRI AMAN, 13 Mac: Peluang untuk mempelajari pelbagai bidang teknikal dan kemahiran kini semakin terbuka luas sejajar dengan matlamat kerajaan Sarawak melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata hal ini selari dengan hasrat kerajaan Sarawak bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan menjadi negeri maju melalui Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Jelasnya melalui pembukaan Sarawak Skill Cawangan Sri Aman akan membuka peluang kepada penduduk sekitar dalam mengikuti penganjuran program-program jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Perlu untuk kita menawarkan program latihan yang dapat membantu belia atau pekerja dalam meningkatkan tahap kemahiran ke peringkat lebih tinggi setaraf kemajuan teknologi terkini.

“Terima kasih Sarawak Skill kerana memberi peluang kepada penduduk di sini mengikuti program-program jangka pendek yang sudah pasti dapat meningkatkan kemahiran mereka,” katanya berucap merasmikan pembukaan Sarawak Skill Sri Aman dan Majlis Penutupan Program Pembangunan Pemacu Komuniti di sini, hari ini.

Tambahnya banyak peluang pekerjaan yang wujud pada masa ini memerlukan kemahiran yang baharu serta memerlukan pekerja lebih fleksibel, berinovatif dan beradaptasi.

Beliau percaya Sarawak Skills sebagai satu pusat latihan bertauliah mampu memainkan peranan dalam melahirkan golongan modal insan yang amat-amat diperlukan oleh industri pekerjaan masa ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri berkata Sarawak Skills Sri Aman akan menawarkan empat kursus Sijil Kemahiran Malaysia secara sepenuh masa bermula Jun tahun ini di dalam bidang elektrik, perladangan, sistem komputer dan juga kulinari.

Tambahnya buat masa ini Sarawak Skills Sri Aman hanya menawarkan 10 kursus jangka pendek bagi memberi peluang latihan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada peserta.

Setakat ini 80 orang peserta telah menyertai tiga jenis kursus jangka pendek iaitu 40 orang peserta untuk Kursus Asas Penanaman Secara Nutrient Film Technique (NFT) Hidroponik, 20 orang peserta menyertai Kursus Asas Pembuatan Roti Bun dan Pastri, manakala 20 orang peserta menyertai Kursus Asas Jahitan Selampai Buriek.

Kursus yang dianjurkan selama satu hingga dua hari tersebut melibatkan penduduk daripada daerah Sri Aman iaitu Kampung Kara, Kampung Gua, Kampung Sabu dan Kampung Temudok. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan