KUCHING, 13 Mac: Sarawak mempunyai peluang cerah untuk diangkat sebagai hab utama industri pembinaan serta pembaikan perkapalan di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, industri perkapalan itu adalah merupakan industri khusus dan sangat strategik buat Sarawak yang dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan peluang pekerjaan.
Katanya lagi, sehingga kini Sarawak mempunyai 68 limbungan kapal manakala 32 lagi berada di serata Malaysia.
“Namun, terdapat banyak peluang yang belum diterokai terutamanya dalam sektor Tenaga Boleh Baharu seperti Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS), pengangkutan hijau serta sektor minyak dan gas mampan yang boleh diterokai oleh industri kita.
“Walau bagaimanapun, mereka perlu meningkatkan keupayaan mereka dengan menggunapakai teknologi digital baharu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Awang Tengah bersama delegasinya iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MITRED), InvestSarawak, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) serta Sarawak Association of Marine Industries (SAMIN) kini dalam rangka kerja di Singapura bagi menyelaraskan penyertaan 12 syarikat Sarawak yang mempamerkan keupayaan mereka dalam Ekspo Maritim Asia Pasifik 2024.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, beliau memuji penyertaan aktif pembina perkapalan dari Sarawak itu dan ketersediaan mereka dalam meneroka lebih dalam pasaran itu serta peluang baharu.
“Dengan permintaan minyak dan gas yang semakin meningkat, seiring dengan permintaan logistik yang semakin meningkat, industri maritim dijangka terus kekal kukuh, memacu pertumbuhan dan daya saing masa depan,” katanya lagi.
Mengambil contoh, beliau berkata, banyak kapal bertaraf antarabangsa buatan Sarawak telah dieksport ke negara luar seperti Indonesia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Australia, Brunei Darussalam dan China serta Eropah. – TVS