MIRI, 13 Mac: Penduduk di Kampung Pulau Melayu kini mampu menarik nafas lega dengan adanya struktur kawasan guna sama berbumbung yang siap dibina di kawasan Masjid Nur Kasih di sini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ini membolehkan penduduk kampung tersebut menjalankan aktiviti dengan lebih selesa terutama ketika Ramadan.
“Peruntukan RM100,000 di bawah RTP ini melibatkan pembinaan struktur berbumbung, penukaran permaidani di dalam masjid serta pembinaan pagar baharu di sekeliling masjid ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan ke Masjid Nur Kasih di Kampung Pulau Melayu pada Rabu.
Sebastian yang juga merupakan ADUN Piasau turut berkata, projek ini akan memberikan manfaat kepada lebih 300 jemaah masjid di perkampungan tersebut dan ia pastinya akan bertambah meriah menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri kelak. – TVS