KUALA LUMPUR, 13 Mac: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tidak pernah mengeluarkan arahan melarang penglibatan ahli politik kerajaan atau pembangkang menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata KPN sebagai kementerian yang bertanggungjawab menerajui perpaduan di negara ini, beliau akan memastikan perkara sedemikian tidak berlaku.
“Dalam semua lawatan kerja rasmi ke negeri-negeri, saya sentiasa melibatkan exco perpaduan negeri atau wakil kerajaan negeri untuk turut bersama.
“Baru-baru ini, semasa lawatan saya ke Kelantan dan Terengganu, kedua-dua exco perpaduan negeri berkenaan turut terlibat bersama saya bagi Majlis Perasmian Kompleks Perpaduan Machang, Program Komuniti Rahmah KRT Lubok Setol dan KRT Pengkalan Ajal serta Program Pemerkasaan CBT di KRT Gunung, Hulu Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Penggulungan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Aaron Ago berkata, tindakan menjemput exco kerajaan negeri menyertai program anjuran kementeriannya akan diteruskan selagi mereka tidak menyemai unsur kebencian kaum dan agama atau menyebarkan ideologi politik ekstrim.
“KRT adalah bersifat berkecuali atau non-partisan iaitu tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Ini adalah selaras dengan tugas dan fungsinya di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 iaitu sebagai peneraju keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian dalam komuniti,” jelasnya.-TVS.