KUALA LUMPUR, 13 Mac: Malaysia menerima sebanyak 55 penerbangan melibatkan laluan baharu antarabangsa tahun ini, Dewan Rakyat dimaklumkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, antaranya dari Ashgabat (Turkmenistan) – Kuala Lumpur, Sabiha Gokcen (Turki) – Kuala Lumpur dan Batam – Kuala Lumpur.
Selain itu katanya, ia juga melibatkan penerbangan sewa khas seperti Nanjing – Tawau, Chengdu – Langkawi, Chengdu – Kota Kinabalu dan Chongqing – Langkawi.
“Bagi Sichuan Airlines (pula) ia akan memulakan penerbangan harian dari Chengdu ke Kuala Lumpur dan China Eastern Airline dari Shenzhen – Kuala Lumpur bermula April 2024.
“Air Asia akan turut memulakan penerbangan terus dari Xi’an ke Kuala Lumpur yang berpotensi menggalakkan pelancongan berkonsepkan muslim friendly tourism,” katanya ketika Penggulungan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan sidang dewan, Shanghai Airlines juga berhasrat untuk menambah lima laluan baharu iaitu Wuhan – Kuala Lumpur, Kunming – Kuala Lumpur, Nanjing – Kuala Lumpur, Shanghai – Pulau Pinang dan Shanghai – Tawau yang dijangka bermula pada Jun 2024.
Mengenai kejatuhan nilai Ringgit pula, King Sing berkata, ia menjadi satu peluang bagi MOTAC untuk bekerja keras bersama-sama dengan penggiat industri pelancongan tempatan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan value for money kepada pelancong asing. -TVS