KUALA LUMPUR, 13 Mac: Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan insentif khas bagi menarik artis antarabangsa mengadakan konsert berskala besar di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta kementerian untuk meneliti perkara itu.
Parlimen: Malaysia tidak pernah ditawarkan anjur konsert Taylor Swift
“Pada waktu ini, kita ada Insentif Filem Malaysia (FIMI).
“Tidak mustahil untuk kita pertimbangkan satu konsep yang sama untuk acara-acara seperti yang dimaksudkan,” katanya.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (Pakatan Harapan – Jelutong ) yang bertanya adakah kerajaan menerima cadangan untuk mengadakan konsert Taylor Swift seperti di Singapura baru – baru ini.
Rayer juga memohon penjelasan kerana terdapat pihak tertentu yang memperlekehkan kebolehan Malaysia untuk menganjurkan konsert artis terkenal antarabangsa.
Kepada soalan itu, Fahmi menafikan Malaysia ketinggalan berbanding negara jiran dalam aspek penganjuran konsert berskala besar seperti The Eras Tour.
“Malaysia pernah menganjurkan acara serupa namun (apa) yang berbeza (ialah) negara jiran itu mempunyai insentif disediakan oleh kerajaan untuk menarik artis-artis tertentu,” katanya.
Fahmi turut menyifatkan artis antarabangsa yang membuat persembahan di beberapa negara di Asia Tenggara akan turut menyokong peningkatan sektor tertentu.
“Saya berpandangan ketika ini artis dan konsert mencukupi bukan hanya untuk Malaysia dan Singapura malah seluruh rantau Asia Tenggara,” katanya. -TVS