KUALA LUMPUR, 13 Mac: Penganjuran konsert oleh dua kumpulan terkenal antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun lepas telah memberikan kutipan cukai sebanyak RM10.7 juta kepada kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bagi konsert Kumpulan Coldplay, jumlah keseluruhan hasil ialah sebanyak RM137 juta dengan sumbangan cukai sebanyak RM8 juta.
“Bagi konsert Blackpink pula, jumlah pendapatan keseluruhan ialah sebanyak RM64 juta dengan hasil cukai sebanyak RM2.7 juta,” katanya ketika Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Hannah turut memaklumkan penganjuran konsert di fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang melibatkan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena memberikan pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding acara sukan.
“Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium pelbagai guna dalam penganjuran pelbagai program sukan dan bukan sukan menjadi pilihan untuk acara berskala besar seperti konsert dan perhimpunan kerana kapasiti besar melebihi 80,000 penonton dan kedudukannya yang strategik,” katanya.
Sepanjang tahun lepas jelas Hannah, pendapatan RM2.4 juta diperolehi PSM bagi penganjuran 23 acara sukan.
“(Ini melibatkan) hasil keseluruhan kos sewaan RM1.8 juta, sewaan corporat suites RM340,000, aktiviti perniagaan RM146,000 dan parking sebanyak RM52,000,” katanya. -TVS