KUALA LUMPUR, 13 Mac: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini untuk mengadakan Program Jualan Rahmah di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kos berkenaan juga akan digunakan untuk menganjurkan Pasar Rahmah.
Jelas beliau, Jualan Rahmah ditawarkan sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh sebulan di setiap kawasan parlimen di seluruh negara tanpa mengira ia kawasan wakil rakyat pembangkang atau kerajaan.
“Untuk Ramadan (pula) kita tambah 450 Jualan Rahmah di seluruh negara dan ditambah dengan lebih barang basah untuk penuhi keperluan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (Perikatan Nasional – Rantau Panjang) yang ingin tahu jumlah kos dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan Program Jualan Rahmah serta bagaimana inisiatif berkenaan memanfaatkan rakyat di kawasan parlimen yang memerlukan.
Sementara itu berkenaan dengan Menu Rahmah pula, Fuziah memaklumkan, ia ditawarkan di 64 bazar Ramadan di seluruh negara.
“(Mengenai) Jualan Ehsan Rahmah pula, tidak ada peruntukan kerajaan kerana (inisiatif berkenaan) ditawarkan oleh rakan strategik kementerian yang melaksanakan jualan berkenaan,” katanya. – TVS