KUCHING, 12 Mac: Kontinjen Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 ingin menebus kekecewaan apabila sekadar berpuas hati dengan kedudukan kedua pada temasya itu pada 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pada 2022, kontinjen Sarawak mengutip 146 pingat yang merangkumi 50 emas, 49 perak dan 47 gangsa.
“Sasaran kita adalah untuk menjadi nombor satu dan menewaskan Sabah kerana mereka menewaskan kita pada kali terakhir Para SUKMA diadakan (di Kuala Lumpur).
“Kali ini tidak kira berapa banyak pingat yang diperolehi, asalkan kita berjaya menewaskan Sabah,” katanya pada sidang media mengenai persediaan penganjuran Para SUKMA 2024, di sini, hari ini.
Fatimah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA ke-21 Sarawak 2024 itu berkata kontinjen Sarawak mempunyai kelebihan untuk menjulang kejuaraan pada edisi temasya kali ini.
“Kita telah membuat post-mortem berikutan kekalahan kontinjen Sarawak pada edisi lalu dan telah memperbaiki kelemahan kita, oleh itu saya percaya kita mempunyai peluang yang lebih baik daripada sebelum ini,” ujarnya.
Pada edisi kali ini, seramai 1,400 atlet dan 600 pegawai yang mengambil bahagian yang akan berlangsung di Kuching pada 23 hingga 28 September depan.
Sebanyak 10 acara akan dipertandingkan pada temasya Para SUKMA kali ini iaitu Para Olahraga, Para Renang, Para Badminton, Para Pingpong, Para 10pin Bowling, Boccia, Para Lawn Bowls, Para Powerlifting, Para Memanah dan Para Catur. – TVS