KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kementerian Dalam Negeri menjelaskan tiada kes kematian akibat penderaan di depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tuduhan Human Rights Watch (HRW) yang mendakwa Malaysia mendera warga asing di pusat tahanan JIM sehingga menyebabkan kematian juga tidak disertakan dengan bukti.
Kata beliau, berdasarkan dakwaan berkenaan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen telah memanggil JIM dan HRW untuk memberi keterangan.
“Saya difahamkan dalam keterangan itu, (apabila) diminta pembuktian di mana penderaan berlaku, di mana kes kematian, kem mana? Bekenu? Belantik? Semenyih? Pekan Nenas? Tawau? Bidor?
“Satu cebis bukti pun mereka (HRW) tidak dapat kemukakan tetapi dakwaan itu telah mereka syarahkan seluruh dunia,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan kerajaan membelanjakan RM123 juta tahun lalu untuk menguruskan 20 depoh imigresen.
“Makan sahaja RM80 juta. Bila kita usir, kita bayar duit pengangkutan feri dan kapal. Begitu sekali kita jaga tapi kita didakwa dera (tahanan) sehingga menyebabkan kematian,” tambahnya.
Saifuddin turut menjelaskan, kapasiti depoh imigresen di seluruh negara mampu memuatkan sehingga 20,650 tahanan dan sehingga 7 Mac lepas, hanya 13,635 orang yang ditahan.
“Biar angka berbicara. Adakah sesak? Jawapannya tidak,” tegasnya.
Daripada jumlah itu kata beliau seramai 4,541 tahanan merupakan warga Myanmar, 3,797 (Indonesia), Filipina (2,914) Bangladesh (1,000), Thailand (329) dan lain – lain negara (1,054 orang). -TVS