KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM38.65 juta bagi pembangunan semula bangunan sekolah daif di Tanjong Manis pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM11.91 juta telah dibelanjakan.
“Bagi tahun ini pula, sebanyak RM16.98 juta telah diluluskan bagi projek pembangunan semula bangunan sekolah daif dalam pelbagai fasa pembinaan yang melibatkan 12 projek,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Yusuf Abd Wahab (Gabungan Parti Sarawak – Tanjong Manis) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kos yang telah dibelanjakan untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif di Parlimen Tanjong Manis sepanjang 2023 serta jumlah peruntukan untuk 2024 dan bilangan sekolah yang terlibat.
Sementara itu tambah Kah Woh, sejak 2016 beberapa projek telah siap dilaksanakan melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) St Andrew, SK Sungai Selidap, SK Bukit Kinyau, SK Muara Payang dan SK Kampung Serdeng.
Tambahnya, projek itu melibatkan projek pembinaan empat unit kuarters yang siap pada 24 Februari 2022.
“Masih berbaki 10 projek dalam fasa pra bina dan Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited bagi memastikan semua projek disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan,” jelasnya. -TVS