KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) tempatan pada harga yang lebih murah iaitu di bawah RM100,000 menjelang 2025.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pengeluaran kereta EV bukan hanya terhad kepada syarikat pengeluaran kereta tempatan seperti Perodua dan Proton malah juga terbuka kepada jenama lain yang bersedia mengeluarkan kenderaan mesra alam itu di Malaysia.
“Ini perlu dilaksanakan supaya kita dapat mencapai dua objektif iaitu merakyatkan transisi hijau dan membangunkan industri baharu.
“Kedua-dua objektif ini perlu bergerak secara serentak atau selari,” katanya semasa Penggulungan Menteri di Dewan Rakyat hari iui.
Menurut Chin Tong, sebelum ini kerajaan telah bersetuju untuk menghasilkan 10,000 pengecas EV yang melibatkan 1,000 pengecas DC dan 9,000 pengecas AC.
“Kerajaan turut memahami keadaan semasa iaitu negara ini banyak harta tanah, maka pengecas AC bukan menjadi tumpuan kita.
“Kita mahu menghasilkan lebih banyak pengecas DC supaya pelbagai kebimbangan pengguna kereta EV dapat dikurangkan dan sekali gus lebih ramai rakyat tempatan boleh menggunakan kereta EV dalam tempoh jangka panjang,” jelasnya. -TVS