KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneliti keperluan untuk menubuhkan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Klinik Kesihatan Selangau.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini susulan jarak ke klinik itu yang memerlukan tempoh sehingga satu jam perjalanan dari Hospital Sibu.
“Pembinaan Anjung Kasih YKN yang baharu di tempat-tempat lain termasuklah di Klinik Kesihatan Selangau akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa.
“Ini kerana pembinaannya tertakluk kepada peruntukan YKN serta penajaan daripada sektor korporat,” katanya ketika Penggulungan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Edwin Banta (Gabungan Parti Sarawak – Selangau) yang memohon pertimbangan KPWKM untuk menyediakan penginapan sementara dengan mendirikan rumah anjung rehat bagi pesakit dialisis yang memerlukan tempat penginapan selepas menjalani rawatan di Selangau.
Sementara itu Nancy memaklumkan terdapat tiga buah Anjung Kasih YKN di Sarawak iaitu di Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Miri dan Hospital Sibu.
“YKN menyediakan Anjung Kasih iaitu penginapan sementara yang disediakan kepada ahli keluarga atau waris yang mengiringi pesakit yang tidak berkemampuan tetapi memerlukan penginapan sementara ketika atau selepas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan,” katanya.
Kata Nancy lagi, sejak penubuhannya pada 2006 sehingga 2023, seramai 96,338 orang telah mendapat manfaat daripada 19 buah Anjung Kasih YKN di seluruh negara. – TVS