KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha memperkasa kerjasama pendidikan termasuk dengan universiti di luar negara, kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau yang juga Menteri di KPT berkata, sokongan itu boleh dilihat melalui program Penyelidikan Padanan Antarabangsa atau Malaysia Partnership and Alliances in Research (MyPAiR).
Kata beliau program itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) dengan industri, agensi tempatan serta antarabangsa dalam bidang strategik.
“Melalui MyPAir, perkongsian dan kerjasama penyelidikan tidak hanya terhad kepada perkongsian kepakaran tetapi turut merangkumi konteks yang lebih luas seperti perkongsian infrastruktur dan peralatan,” katanya.
Zambry menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Perikatan Nasional – Indera Mahkota) yang ingin tahu pendekatan inovatif KPT untuk memperkukuh keupayaan institusi pendidikan tinggi sekali gus memacu kecemerlangan bidang penyelidikan melalui perkongsian strategik di dalam dan luar negara semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu tambah Zambry, penyelidikan itu antara lain melibatkan bidang tenaga, perubatan dan penjagaan kesihatan, teknologi dan sistem pintar dan sebagainya.
“Kerjasama penyelidikan luar yang diadakan ini termasuklah dengan United Kingdom, Jepun, Perancis dan Sepanyol,” katanya. -TVS