KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kebebasan media di Malaysia perlu disokong serta dimakmurkan lagi, kata Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan tidak berhasrat mengekang hak bersuara dan wartawan membuat laporan.
Jelas beliau, setakat ini tiada wartawan yang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana membuat laporan atau menerbitkan berita mengenai skandal besar.
“Sebagai seorang demokrat, saya dan pentadbiran ini tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya hak para wartawan membuat pelaporan,” katanya.
Fahmi menjawab soalan tambahan RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) yang ingin tahu jaminan kerajaan dalam memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia yang telah dikemas kini tidak akan mengekang pengamal media untuk melaporkan atau membongkarkan sesuatu skandal dan sebagainya.
Sementara itu, Fahmi menjelaskan kad perakuan media bukannya akreditasi kerana hanya sebagai dokumen untuk memudah cara terutamanya untuk wartawan menghadiri acara rasmi kerajaan.
“Ia juga supaya memudah cara agensi-agensi kerajaan mengenal pasti bahawa wartawan-wartawan ini adalah daripada agensi atau organisasi media yang diperakui untuk hadir membuat pelaporan di acara-acara rasmi kerajaan,” katanya. -TVS