KAPIT, 12 Mac: Mendiang Sarjan Jonathan Lambet, 51, yang terkorban dalam tragedi bot karam pada Khamis lepas diberi penghormatan terakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit hari ini.
Jasad mendiang dibawa ke kampung halamannya di Kampung Stenggang, Bau bagi upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Kristian St. Theresa.
Upacara itu diadakan selepas van jenazah yang membawa keranda mendiang tiba di pekarangan IPD Kapit dari rumah mayat Hospital Kapit pada 8.45 pagi.
Turut hadir mengetuai penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu, Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak dan Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat serta pegawai kanan dan anggota termasuk kakitangan awam.
Rohana berkata, rombongan bertolak dari IPD Kapit sejurus selesai upacara tabik hormat kepada mendiang Jonathan pada 9.15 pagi.
“Bagi warga IPD Kapit, kami semua sangat sedih dengan pemergian mendiang Jonathan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Jonathan,” katanya pada upacara itu.
Jonathan merupakan antara lima orang menaiki bot yang karam dalam tragedi air berpusar berhampiran SK Lepong Baleh, Sungai Baleh pada 5 petang.
Hanya Moses Ngui terselamat dalam insiden berkenaan.
Pada Sabtu lalu, mayat Jonathan ditemui di hadapan jeti Bot Ekspres Kapit manakala mayat pemandu bot, Jack Balan ditemui di bawah Jambatan Lanang, Sibu dan mayat rakan penumpang, Emerson John Nain ditemui di Tanjung Singat, Meradong.
Hari ini, operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam bagi menencari mangsa terakhir iaitu Konstabel Iskandar Ibrahim. – TVS