GEORGE TOWN, 11 Mac: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan pertambahan mendadak jumlah pesakit diabetes dan buah pinggang berdasarkan saringan kesihatan percuma yang dilakukan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya memandang serius isu itu apabila ia boleh menjejaskan produktiviti negara sekiranya tahap kesihatan pekerja tidak dikawal.
Katanya, sebanyak 19.9 peratus pesakit kencing manis dikesan dalam kalangan pekerja pada tahun lalu iaitu meningkat secara mendadak berbanding hanya sembilan peratus pada 2013.
“Perbelanjaan PERKESO untuk kes-kes dialisis pesakit buah pinggang juga bertambah kira-kira RM20 juta dalam tempoh dua ke tiga tahun (kebelakangan) ini.
“Jadi kita menitikberatkan kesihatan dan keselamatan pekerja kerana dengan adanya tenaga kerja yang sihat serta bekerja dalam persekitaran kerja yang selamat dan selesa, baharulah kita boleh tingkatkan produktiviti menjana ekonomi negara,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Tolak Gula: Inisiatif PERKESO Cegah Penyakit Tidak Berjangkit Dalam Kalangan Pekerja di Bayan Lepas di sini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Menurutnya, saringan kesihatan PERKESO terhadap 175,526 pekerja berumur 40 tahun ke atas sejak 2023 hingga 29 Februari lalu mendapati 59.59 peratus memiliki kolestrol tinggi, obesiti (23.52 peratus) dan darah tinggi (20.45 peratus).
Dalam pada itu, Steven Sim berkata, PERKESO turut menyasarkan memiliki pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh dua tahun lagi dengan perbelanjaan RM24 juta bagi menawarkan rawatan percuma kepada pencarum berbanding hanya empat pusat tersebut di seluruh negara ketika ini. – TVS